Juara Terbuka AS, Naomi Osaka, kini berada di landasan terbaik untuk menjadi jaguh tenis wanita pertama dari Jepun yang memegang status pemain nombor satu dunia, kata bekas bintang, Kimiko Date.

Osaka menjadi pemain Jepun pertama yang menjuarai grand slam individu kelmarin selepas menundukkan Serena Williams 6-2, 6-4 dalam aksi final di Flushing Meadows.

Situasi itu membuatkan semi-finalis tiga kali dalam kejohanan utama dan bekas pemain nombor empat dunia, Date, percaya bahawa bintang berusia 20 tahun itu mampu meningkatkan lagi prestasinya selepas memecah masuk senarai 10 terbaik WTA buat kali pertama.

"Jika Osaka terus berkembang seperti apa yang dilakukan sejak dua minggu lalu, dia bakal menjadi pemain nombor satu yang pertama dari Jepun," kata Date.

"Untuk mengekalkan ketenangan sejak dari mula memasuki gelanggang sehingga tamat perlawanan, bukan sesuatu yang mudah.

"Osaka mempamerkan kekuatan permainan tenis wanita melalui kemampuannya sendiri. Dia adalah pemain Jepun dan Asia. Sehingga kini, hanya Li Na yang mempunyai fizikal ideal untuk mencabar kekuatan seperti itu.

"Anda boleh lihat bahawa Serena sangat berhati-hati dengan kekuatan Osaka," ujarnya.