Bintang tenis Jepun, Naomi Osaka, mengesahkan kejuaraan grand slam wanita miliknya dalam saingan Terbuka Amerika Syarikat tatkala Serena Williams berang dengan aksi pengadil, Carlos Ramos, awal pagi tadi.

Osaka mencatat kemenangan 6-2, 6-4 di Flushing Meadows untuk muncul pemain wanita Jepun pertama memenangi kejuaraan grand slam, namun kejayaan itu dicemari insiden tegang melibatkan lawannya.

Serena, pemenang enam kali Terbuka Amerika Syarikat yang masih ketinggalan satu kemenangan berbanding 24 kejuaraan grand slam milik Margaret Court, tampak marah apabila diberi teguran pengadil kerana didakwa mendapatkan bimbingan jurulatih ketika set kedua.

Jurulatihnya didakwa memberi pelbagai isyarat tangan kepada Serena pada detik itu.

Serena kemudian dikenakan penalti satu mata kerana menghempas raket dan perlawanan dihentikan kerana dia terus melakukan protes terhadap Ramos sambil menyifatkan pengadil itu sebagai "pencuri".

Gara-gara itu, dia dikenakan pula denda dipotong satu game, untuk mengubah kedudukan pada 4-3 di pihak Osaka kepada 5-3 dan ia dibantah hebat Serena, yang bagaimanapun meneruskan permainan.

Sebelum itu, Osaka memberikannya cabaran sengit untuk mengesahkan kemenangan setelah Serena menentang keputusan pengadil kerana berasa dia tidak diadili dengan adil.

Kedua-dua pemain menangis ketika sesi penyampaian trofi yang digamatkan lagi dengan ejekan penonton.

Aksi menjadi lebih tegang memandangkan Osaka yang menjadikan Serena sebagai idola dan dikendalikan oleh bekas rakan gandingan Serena, Sascha Bajin, menampilkan aksi hebat.

Walaupun tumpuan lebih terarah kepada Serena, pemain berusia 20 tahun itu layak diberikan pujian selepas mengetepikan cabaran daripada nama terbesar di pentas elit.

Selepas memulakan perlawanan, Osaka mengawal aksi, menyamai kekuatan lawannya melalui penampilan hebat dalam setiap pergerakan dan ketepatan untuk mendominasi set pertama.

Serena kemudian menunjukkan reaksi ketika awal set kedua selepas dia menerima teguran bimbingan jurulatih daripada Ramos.

Sambil mempertahankan dia tidak diberikan arahan daripada kotak jurulatihnya, pemain veteran itu mendekati Ramos dan berkata: "Saya faham mengapa anda mungkin fikir ia satu latihan tetapi saya ingin memberitahu bahawa ia bukan. Saya tidak menipu untuk menang. Saya lebih rela kalah."

Serena menjerit kepada pengadil kerana berpendapat pengadil itu perlu meminta maaf kepadanya sambil berkata: "Saya tidak pernah menipu dalam hidup saya."

Insiden itu tidak berakhir apabila Serena diberikan penalti, membuatkannya menangis dan menjerit mengatakan pengadil itu tidak berlaku adil.

Apabila aksi bersambung, Osaka mempamerkan mutu permainan yang memukau untuk mengesahkan kemenangan, memberikannya kejuaraan yang berhak diraih.