Rafael Nadal mempamerkan persembahan garang untuk menyingkirkan Jared Donaldson dalam pusingan kedua Kejohanan Tenis Masters Indian Wells, sebentar tadi.

Pilihan kedua dari Sepanyol itu melakar kemenangan 6-1, 6-1 ke atas Donaldson dalam aksi pembukaannya dalam acara ATP 1000 itu.

Nadal, juara tiga kali di Indian Wells, seperti biasa tidak memberi muka kepada lawannya apabila menghasilkan 18 servis hebat dan hanya melakukan 10 kesilapan dalam kemenangannya itu.

Donaldson memberikan saingan kepada Nadal dalam pertemuan terdahulu di Shanghai pada 2017 apabila melibatkan pertarungan tiga set, namun tidak berdaya untuk mengulanginya kali ini.

Cabaran terbesar yang dihadapi juara Grand Slam sebanyak 17 kali itu sebelum perlawanan ialah kelewatannya untuk tiba di venue perlawanan sehingga perlu meminta maaf kepada Donaldson.

Dia memberitahu pencabarnya dari Amerika Syarikat itu bahawa dia pada mulanya menyangkakan perlawanan berkenaan akan berlangsung jam 8 malam waktu tempatan dan bukannya 6 petang.

Namun, ia tidak menyekat Nadal untuk mula mengorak langkah dalam set keempat apabila mendahului 3-1 melalui pukulan balas dan kesilapan Donaldson di depan jaring.

Donaldson gagal mengimbangi permainan konsisten Nadal dan pukulan balas atlet Sepanyol itu membolehkannya memuktamadkan kemenangan dalam set keenam.

Nadal kemudian meneruskan rentak yang sama untuk mendahului dalam set kedua untuk menuju kemenangan yang selesa.

Keputusan lain:

Roger Federer mn Peter Gojowczy 6-1, 7-5

Alexander Zverev mn Martin Klizan 6-3, 2-0 (menarik diri)

Novak Djokovic mn Bjorn Fratangelo 7-6 (7-5), 6-2