Rafael Nadal terus mengunci mulut berhubung kecederaannya apabila melepasi pusingan ketiga Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas menghadapi tentangan Karen Khachanov, hari ini.

Juara bertahan, Nadal, memerlukan lebih empat jam untuk mengalahkan pemain Russia berusia 22 tahun itu 5-7, 7-5, 7-6 (9-7), 7-6 (7-3) di Stadium Arthur Ashe.

Lutut kanannya kelihatan berbalut tebal dan rakaman televisyen menunjukkan dia bersungguh-sungguh melakukan regangan sebelum perlawanan.

Dalam sidang berita selepas perlawanan, Nadal ditanya: "Bagaimanakah perasaan anda sekarang, khususnya lutut anda?"

"Ia hanya sesuatu yang saya rasakan tetapi saya sentiasa cuba untuk tidak bercakap banyak tentang perkara seperti ini semasa pertandingan," kata pilihan utama itu.

"Apabila kejohanan berakhir, lebih baik dan mudah untuk dibincangkan.

"Tetapi, secara peribadinya saya berada di tahap 100 peratus untuk aksi berikutnya (pertembungan pusingan keempat dengan Nikoloz Basilashvili)."

Nadal menawarkan sokongan terhadap lawannya yang disingkirkan selepas menyertai Terbuka AS dengan kedudukan ranking tertinggi dalam kerjayanya, ke-26, untuk menikmati kejayaan lebih besar pada masa depan.

"Dia sentiasa bertambah baik. Dia muda dan mempunyai segala-galanya," kata Nadal mengenai Khachanov.

"Dia pemain yang hebat. Saya meramalkan bahawa dia akan memenangi banyak perlawanan dalam kerjaya tenisnya, mengapa tidak? Dia mempunyai banyak perkara yang menarik, dia mempunyai masa depan yang hebat.

"Dia sentiasa mempunyai sikap yang hebat di atas gelanggang sepanjang tempoh empat jam 20 minit permainan. Dia berjuang sepanjang masa, bermain agresif, menampilkan aksi hebat, membuat beberapa kesilapan dalam detik penting tanpa mengeluarkan kata-kata buruk.

"Ini satu perkara yang hebat buat sukan tenis dan itulah perkara yang hebat olehnya. Dengan sikap itu, saya pasti dia akan mempunyai banyak kejayaan."