Dua bintang tenis dunia, Roger Federer dan Rafael Nadal, tidak bercadang untuk menjadi pasangan beregu pada masa depan walaupun menyertai Piala Laver bersama.

Buat pertama kali dalam sejarah, Federer dan pemain nombor satu dunia, Nadal, bermain sebagai satu pasukan apabila bergandingan mewakili pasukan Eropah menentang pasukan Dunia di Prague.

Berbekalkan 35 gelaran kejuaraan, Federer dan Nadal menewaskan pasangan Amerika, Jack Sock dan Sam Querrey, 6-4, 1-6, 10-5 untuk memberikan penguasaan 9-3 kepada skuad Eropah.

Ia menjadi satu perkara hebat apabila memikirkan gandingan itu berlaku, namun kedua-dua mereka tidak merasakan ia idea yang bagus.

"Saya tidak mahu memusnahkan harapan anda," ujar Federer kepada Nadal.

"Bagi saya, ia adalah pengalaman hebat. Kami hanya berlatih bersama sekali, kembali daripada Jelajah Dunia. Kami akan sentiasa menjadi seteru utama tetapi ini adalah sesuatu yang sangat istimewa.

"Satu penghormatan buat saya untuk berkongsi gelanggang bersama Nadal dan melihat caranya bermain di sebelah saya."

Nada sama turut disuarakan Nadal mengenai Federer.

"Ia adalah hari yang sukar dilupakan. Selepas sejarah yang tercipta di belakang kami, ia menjadi satu kegembiraan untuk kami nikmati," kata Nadal.