Rafael Nadal percaya Novak Djokovic sekali lagi beraksi di tahap terbaiknya selepas mengalami kekalahan kepada pemain Serbia itu dalam perlawanan separuh akhir Wimbledon.

Djokovic mengharungi dua tahun yang sukar sejak merangkul kesemua grand slam dalam tempoh setahun bermula dengan Terbuka Perancis 2016 hingga saingan terakhir, Terbuka AS.

Pemain Serbia itu -- yang kini berada di ranking ke-21 dunia -- berjaya mengelak daripada kecederaan dan melakukan banyak pertukaran dalam pasukannya, mempamerkan aksi terbaik untuk mengatasi Nadal 6-4, 3-6, 7-6 (11-9), 3-6, 10-8 dalam aksi yang berlangsung selama lima jam dan 15 minit untuk meletakkan dia di landasan merangkul gelaran grand slam yang ke-13.

Bagi pemain nombor satu dunia itu, perlawanan itu membuktikan Djokovic sudah kembali ke tahap terbaik.

"Dia bermain dengan baik. Pada pendapat saya, dia telah menemui sentuhan terbaiknya," kata Nadal.

"Djokovic mara ke final Wimbledon. Anda tidak mungkin ke final jika tidak menampilkan aksi terbaik.

"Saya berasakan ia merupakan perlawanan terbaik buat kami dan menampilkan perlawanan yang menakjubkan buat penonton yang hadir.

"Sememangnya, saya kurang gembira dengan keputusan perlawanan ini tetapi saya berpuas hati kerana sebahagian daripada aksi yang menarik," kata Nadal.

Ia merupakan pertembungan ke-52 buat kedua-dua pemain dengan Djokovic mendahului 27-25 ke atas lawannya itu.

"Cabaran terbesar saya adalah berdepan salah seorang pemain terbaik dalam sejarah," kata Nadal lagi.

"Saya amat menghormati lawan dan kami telah bersaing dalam tempoh yang agak panjang. Kami telah beraksi di dalam stadium yang hebat dan ia adalah satu kenangan yang menarik buat kami.

"Dia adalah seteru yang hebat."