Andy Murray akan mengikuti jejak langkah Roger Federer pada 2017 dengan merancang jadual yang lebih ringan pada tahun ini untuk membolehkannya lebih berdaya saing.

Murray terlepas separuh kedua musim lalu akibat kecederaan pinggul yang dialaminya di Wimbledon sehingga memaksa bekas pemain nombor satu dunia itu menjalani pembedahan untuk menyelesaikan masalah itu.

Ia mengakibatkan Murray terlepas kempen Terbuka Amerika Syarikat (AS) serta Final ATP di London, malah ia masih menyekat pembabitan kompetitifnya ketika ini.

Murray akan membuat kemunculan semula dalam Kejohanan Antarabangsa Brisbane menentang Ryan Harrison minggu ini, bagaimanapun pemain Britain itu bersedia untuk mengehadkan penampilannya tahun ini

"Saya mungkin membuat beberapa perubahan dalam jadual tahun ini," kata Murray kepada wartawan.

"Saya pasti akan kurang beraksi berbanding seperti sebelum ini bagi memberikan saya ruang untuk berehat dan pulih.

"Saya mahu bermain selagi saya boleh melakukannya secara fizikal, dan kebanyakan pemain akan berasa seperti itu.

"Rehat, terutama apabila anda bertambah tua, adalah sangat penting dan ia sesuatu yang pasti akan saya lakukan."

Murray tampil dalam pertarungan pertunjukan Kejohanan Tenis Dunia Mubadala dengan Roberto Bautista Agut semalam tetapi dia kelihatan berkarat sepanjang pertarungan satu set itu.

Dia mengakui masih mengambil langkah berjaga-jaga dengan masalah pinggulnya itu, namun ia hanya menghadirkan sedikit kebimbangan kepadanya untuk melangkah ke peringkat suku akhir.

Tambah Murray: "Pinggul saya berasa lebih baik berbanding di Wimbledon.

"Di Wimbledon, saya hampir layak separuh akhir, jadi jika pencapaian ini lebih baik daripada itu, maka ia adalah positif.

"Begitupun, peluang beraksi dan kembali membiasakan diri dengan intensiti perlawanan serta bagaimana untuk pulih daripada pertarungan adalah penting. Saya berharap akan mengharunginya dengan baik tetapi anda tidak pasti sehingga anda dapat meneruskannya."