Andy Murray mendedahkan bahawa dia mungkin memerlukan satu lagi pembedahan di pinggulnya bagi mengelakkan kariernya berakhir awal.

Kali terakhir pemain British dan pemenang tiga kejuaraan grand slam itu beraksi ialah dalam final Piala Davis 2019 di mana dia mengalami kecederaan pelvis.

Murray, 32, kini perlu menjalani pembedahan lanjutan gara-gara mengalami heterotopic ossification -- satu keadaan di mana pertumbuhan tulangnya terkeluar daripada rangka normal -- satu komplikasi selepas menjalani pembedahan di bahagian itu pada Januari 2019.

"Apa yang saya perlu lakukan ialah dengan melakukan senaman dalam beberapa minggu ini untuk menguji keadaannya. Saya benar-benar akan menguji keadaan pinggul saya," katanya kepada media United Kingdom, The Guardian.

"Harap-harap ia memberikan respons yang baik tetapi jika tidak, saya mungkin terpaksa mengeluarkannya.

"Saya tidak dapat mengeluarkannya sehingga pertumbuhannya terhenti.

"Saya kini sudah mengalaminya selama 13 bulan sejak menjalani pembedahan pada Januari (tahun) lalu.

"Jadi, saya mengharapkan sesuatu yang baik sepanjang tempoh saya mengujinya.

"Saya mungkin akan mengetahuinya bulan depan, sama ada saya boleh bermain dengan keadaan itu ataupun tidak.

"Jika mereka tidak dapat mengeluarkannya menggunakan arthroscope, saya mungkin terpaksa menjalani pembedahan semula dan ia memerlukan tempoh yang lebih panjang untuk pulih.

"Ia bukan seperti pembedahan utama untuk mengeluarkannya tetapi jika mereka tidak dapat mengeluarkannya menggunakan arthroscope, ia akan menjadi masalah," katanya.

Thanks so much to all the players who voted! ?? Was a tricky couple of years and I appreciate all of your support.. See you in the new year ? #tennis #castore

A post shared by Andy Murray (@andymurray) on