Rafael Nadal terpaksa menarik diri daripada Kejohanan Tenis Masters Indian Wells gara-gara kecederaan lutut menjelang pertemuan separuh akhir dengan Roger Federer.

Pemain nombor dua dunia itu dijadualkan berdepan Federer dalam separuh akhir selepas menyertai kelompok empat pemain terbaik tanpa melepaskan sebarang set dengan kemenangan ke atas Jared Donaldson, Diego Schwartzman, Filip Krajinovic dan Karen Khachanov sepanjang minggu ini.

Masalah lutut Nadal itu telah mula dikesan sewaktu dia menewaskan Khachanov dalam suku akhir, semalam di mana dia menerima rawatan sebanyak dua kali di tepi gelanggang.

Walaupun pemain Sepanyol itu berharap untuk dapat beraksi menentang Federer, dia menyedari keadaan fizikalnya itu tidak membenarkannya untuk beraksi selepas melakukan regangan.

"Saya melakukan regangan hari ini dan mendapati keadaan lutut saya tidak begitu baik untuk beraksi di peringkat separuh akhir.

"Ia amat menyukarkan saya untuk menerima nasib seperti ini sepanjang karier saya.

"Adakalanya saya berasa sedih dengan kelemahan yang saya hadapi berbanding pemain lawan.

"Saya perlu lebih positif dan bersyukur dengan apa yang tenis telah berikan kepada saya.

"Saya berasa bertuah dengan apa yang telah saya lakukan dalam hidup saya dan sukan tenis dunia," katanya.

Dengan penarikan diri Nadal, Federer akan menempa laluan percuma ke final dan akan berdepan sama ada Dominic Thiem atau Milos Raonic.