Rafael Nadal menyingkirkan Karen Khachanov dalam suku akhir Kejohanan Tenis Masters Indian Wells di California, Amerika Syarikat (AS), hari ini untuk bertemu seteru tradisinya, Roger Federer, di peringkat separuh akhir.

Juara tiga edisi, Nadal, tidak pernah menjuarai kejohanan itu sejak 2013, namun dia kini hanya tinggal dua langkah lagi untuk bergelar juara.

Seteru lamanya, Federer, terlebih dahulu layak ke separuh akhir, namun Nadal terpaksa mengeluarkan segala yang terdaya untuk menewaskan Khachanov.

Kachanov sentiasa memberikan tekanan buat pemenang 17 kejuaraan grand slam itu, namun Nadal bangkit daripada aksi goyah untuk melakar kemenangan 7-6, 7-6.

Permulaan goyah dipamerkan Nadal dalam set pertama, namun dia bangkit untuk memaksa Khachanov melakukan kesilapan sebelum mengikat kedudukan 3-3.

Khachanov, yang bersemangat tinggi, melepaskan empat mata akhir ketika Nadal -- yang sudah mula menemui rentak -- dihujani tekanan sebelum membawa set tersebut ke penentuan 'tie-break'.

Nadal menghasilkan pukulan terus yang kencang untuk memenangi 'mini-break' pertama selepas rally yang berlangsung hebat.

Dia kemudian memanfaatkan kelebihan itu untuk memenangi set pertama hasil kesilapan lawannya.

Permulaan sengit kembali disaksikan dalam set kedua dengan kelebihan Nadal pada kedudukan 3-2 dipadam Khachanov sebelum dia mensia-siakan peluang meraih mata akhir menerusi pukulan drop yang tersasar.

Satu lagi penentuan 'tie-break' menyaksikan Nadal kekal tenang mengawal rentak permainannya dan membuatkan Khachanov terpinga-pinga selepas set tersebut berkesudahan seperti yang sebelumnya.