Malaysia menjadi tumpuan pembentukan bakat tenis remaja dunia apabila diberi mandat menjadi tuan rumah bagi kelayakan Final Tenis Kejohanan Dunia Bawah 14 Tahun (B-14) Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF).

Saingan format berpasukan itu mula dipertandingakan pada 1991 dan sudah melahirkan ramai jaguh dunia.

Rafael Nadal dan Novak Djokovic, misalnya, membentuk pengaruh bersama Sepanyol dan Serbia menerusi acara ini.

ITF juga boleh berbangga dengan kelangsungan program ini menerusi kejayaan Ashleigh Barty dari Australia yang masih segar menjuarai Terbuka Miami awal pagi tadi.

"Aksi kelayakan Kejohanan Dunia B-14 ini akan membolehkan kita menonton bakat muda dari Asia (dengan lebih dekat).

"Saya harap kumpulan pemain ini boleh menjadi bintang masa depan," kata Presiden Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM), Mirzan Mahathir.

Malaysia akan menerima kunjungan 32 pasukan lelaki dan perempuan untuk tempoh dua minggu bermula 1 April ini bagi kelayakan Zon Asia/Oceania.