Setiausaha Kehormat Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM), Rahizam Rahim, berharap syarikat yang diberikan kepercayaan oleh Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk mengendalikan Pusat Tenis Negara, Jalan Duta mampu bekerjasama dengan persatuan itu demi kebaikan tenis negara.

Bagi Rahizam, tiada masalah buat LTAM bekerjasama dengan mana-mana pihak yang akan diberi kepercayaan oleh PSM.

Namun, kebimbangannya sekiranya LTAM tidak dapat menggunakan gelanggang di Jalan Duta untuk program pembangunan sukan itu.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Azman Fahmi Osman, mengesahkan sebuah syarikat akan dilantik untuk mengendalikan Pusat Tenis Negara dan turut memberi jaminan LTAM akan tetap beroperasi di sana.

"Kami ingin tahu macam mana pihak syarikat yang dilantik, bagaimana akan menguruskan, sama ada mereka akan menggunakan gelanggang.

"Kalau boleh, kami mahu syarikat yang akan mengambil alih nanti tiada kepentingan untuk menggunakan kemudahan yang ada agar proses yang lebih adil untuk semua pihak," kata Rahizam.

LTAM akan bermesyuarat dengan PSM pada Khamis depan mengenai syarikat yang akan diberikan kepercayaan oleh PSM untuk mengendalikan Pusat Tenis Negara.

Rahizam berharap satu penyelesaian terbaik untuk semua pihak mampu dicapai dalam pertemuan itu nanti.

"Tempat ini dapat memberi memanfaatkan kepada semua pihak.

"Kami faham mana-mana syarikat yang akan dilantik pasti mahu membuat keuntungan.

"Kalau proses tersebut dapat membantu sukan tenis dalam bentuk kewangan, kami akan menyokong sepenuhnya," ujarnya lagi.