Nick Kyrgios enggan meneruskan pertarungannya dengan Casper Ruud dalam Kejohanan Tenis Internazionali d'Italia selepas dikenakan penalti yang mendorongnya membaling meja lipat ke dalam gelanggang.

Pemain Australia itu bertindak balas berikutan diminta supaya menyambung set ketiga lebih awal dalam pusingan kedua kempen di Rom itu yang menyebabkan dia kehilangan servisnya.

Setelah mengadu kepada pengadil ketika bertukar gelanggang, pemain berusia 24 tahun itu menghempaskan raketnya ke lantai dan menendang peralatan disusuli tindakannya membaling meja lipat.

Sambil mengomel, Kyrgios mengemaskan peralatannya lalu meninggalkan gelanggang tanpa berjabat tangan dengan lawannya mahupun pengadil.

Ketika itu, kedudukan perlawanan adalah 3-6, 7-6 (7-5), 1-1 sebelum pemain nombor 36 dunia itu menarik diri dan ini bermakna Ruud mara ke pusingan 16.

Kyrgios terlebih dahulu menjadi tajuk utama semalam ketika tampil dalam program "No Challenge Remaining".

Ditanya mengenai pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic, dia menjawab: "Saya hanya berasakan dia mempunyai ketaksuban untuk ingin menjadi yang disukai. Dia hanya mahu menjadi seperti Roger (Federer)."

Kyrgios juga menyifatkan Rafael Nadal sebagai sangat menjengkelkan, dengan mendedahkan pemain Sepanyol itu -- yang menuduhnya tidak menunjukkan tanda hormat apabila membuat servis sambil lewa dalam pertemuan mereka di Acapulco, awal tahun ini - adalah amat berlawanan dengannya.