Hasrat pemain tenis wanita Thailand, Luksika Kumkhum, untuk menempatkan diri dalam kelompok 16 terakhir Terbuka Australia 2018 lebur apabila tewas di tangan Petra Martic dalam perseorangan wanita.

Kumkhum merupakan wakil tunggal dari Asia Tenggara dalam pusingan 32 terakhir, namun terpaksa akur dengan kehebatan Martic yang meraikan ulang tahun ke-27 hari ini dalam pertarungan tiga set.

Biarpun bangkit untuk menang 6-3 selepas tewas 3-6 dalam set pertama, ternyata Martic lebih unggul untuk menamatkan set ketiga 7-5.

Sementara itu, wakil Great Britain, Kyle Edmund, turut menempah tiket ke pusingan 16 apabila menewaskan pemain berusia 25 tahun dari Georgia, Nikoloz Basilashvili, bagi acara perseorangan lelaki.

Pemain yang berada di tangga ke-49 dunia itu terpaksa berhempas-pulas sebelum menamatkan perlawanan 7-6 (7-0), 3-6, 4-6, 6-0, 7-5.

"Bagus rasanya dapat melayakkan diri ke pusingan seterusnya.

"Dalam set kelima, kebiasaannya anda akan dapat membaca perlawanan tetapi ia jelas amat sukar dan saya yakin Basilashvili juga berdepan kesukaran itu," kata Edmund.