Jelajah Remaja Malaysia: Shihomi raih juara berganda 

Oleh Azizan Hashim 10 November 2019 135
Jelajah Remaja Malaysia: Shihomi raih juara berganda 
Pemain tuan rumah, Shihomi Leong, meraih gelaran berganda dalam kejohanan sirkit kelapan Jelajah Tenis Remaja Malaysia 2019 yang berakhir di Arena Tenis Perak, Ipoh, hari ini.

Shihomi, 12, menghadiahkan peminat tenis negeri Perak dengan kemenangan acara perseorangan dan beregu kategori perempuan B-16.

Dalam acara perseorangan, pemain itu menewaskan pilihan kedua, Chan Li Ying dari Pulau Pinang, 6-4, 6-0.

Sebelum  itu, Shihomi mengejutkan pilihan utama, Lydia Liong dari Sarawak, 6-2, 6-0 di peringkat separuh akhir.

Dia kemudian bergandingan dengan Lydia untuk mengetepikan cabaran Chan Li Ying-Aqira Clark dari Pulau Pinang, 6-4, 6-1.

Kejayaan berganda itu menyamai kejayaan abang kandungnya, Mitsuki Leong, dalam kejohanan yang sama  tahun lalu, cuma bezanya dia meraih kejayaan berganda itu pada usia lebih muda daripada abangnya itu.

Sementara itu, dalam kategori perseorangan lelaki B-16, Daniel Pricket dari Perak, muncul juara apabila menewaskan Ryan Chee dari Sabah 6-2, 6-2.

Perlawanan akhir itu bagaikan perlawanan akhir ulangan sirkit keenam kejohanan di Sabah, September lalu.

Ryan Chee sekali lagi terpaksa berpuas hati sebagai naib juara dalam kategori beregu apabila dia yang bergandingan dengan Pavel Liam dari Perak, tewas 7-6(2), 7-6(4) kepada gandingan Muhd Zhafree Sidek-Izmal Farroukh dari Kuala Lumpur.

Seramai 280 peserta menyertai kejohanan selama empat hari itu yang juga pusingan terakhir Jelajah Tenis Remaja Malaysia 2019 yang menawarkan 18 acara dari umur bawah 8, 10, 12, 14 dan 16 tahun bagi kategori perseorangan serta beregu lelaki dan perempuan.

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen