Pemain berusia 13 tahun, Hayden Khoo Menon, kini memiliki alasan lebih kukuh untuk mencipta nama selepas meraih kejuaraan Persekutuan Tenis Asia (ATF) Bawah 14 Tahun yang pertamanya di Kuala Terengganu, semalam.

Anak kepada pasangan legenda tenis negara, Suresh Menon dan Chin Bee Khoo itu mencuri tumpuan dengan aksi memukau mengatasi lawan dari Eropah yang memiliki fizikal lebih besar dalam aksi final.

Kini impiannya lebih besar untuk menyertai kejohanan Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) dan bersaing dengan lawan berpengalaman.

“Rancangan saya ialah untuk beraksi di peringkat ITF lebih awal untuk mendapatkan pendedahan beraksi menentang pemain lebih baik,” jelas Hayden.

Membawa reputasi selaku penerus legasi Suresh – bekas pemain ranking ke-28 ITF – hanya akan menguatkan lagi semangat Hayden untuk bertapak dalam sukan tenis di negara ini.

Ibunya, Bee Khoo, juga bukan calang-calang dengan pernah berada pada kedudukan 329 WTA pada 2009 selain pemenang pingat dalam Sukan SEA 1999 sehingga 2003.

“Sudah tentu ada tekanan tetapi tekanan itu boleh membantu meningkatkan kematangan selaku pemain.

“Perjalanan karier saya ditentukan ibu bapa dan saya akan menyertai kejohanan tenis di Australia, penghujung bulan ini,” ujarnya.