Roger Federer tersingkir daripada saingan Terbuka Western & Southern​ selepas pemain nombor tiga dunia itu dikejutkan dengan kekalahan 3-6, 4-6 di tangan pemain daripada pusingan kelayakan, Andrey Rublev.

Tewas final dalam saingan di Cincinnati tahun lalu, Federer melepasi halangan Juan Ignacio Londero dalam pusingan sebelum itu tetapi pemain berusia 38 tahun itu beraksi di bawah tahap sebenar, semalam.

Rublev, yang menyingkirkan Stan Wawrinka sebelum ini, tampil cemerlang apabila dua kali mendahului juara tujuh kali Cincinnati itu dalam set pertama sehingga memastikan pemenang 20 grand slam itu gagal mendapatkan rentak permainan.

Federer bangkit dalam set kedua tetapi Rublev yang menyinar dengan pendahuluan 4-3 terus mengutip mata sebelum mengesahkan kemenangan.

"Terdahulu, saya bergelut dengan servis saya. Break pada servis pertama dan seterusnya, itulah yang terjadi. Perkara itu seakan mempengaruhi sedikit permainan selepas itu," kata Federer.

"Tetapi keseluruhannya adalah sukar, dia bermain sangat baik. Saya pula mungkin bergelut, terutama sekali ketika serangan. Saya tak rasa saya bermain teruk tetapi kadangkala kita tak boleh mengharapkan servis itu dapat melakukan segala-galanya."

Federer bermula buruk apabila terlepas servis permulaan dan apabila dia menyempurnakan mata break ketiga untuk menyamakan kedudukan, Rublev mengulangi teknik untuk mendahului 3-1.

Federer cuba bertahan dengan servis tetapi tidak mampu menyaingi kekuatan Rublev dan pemain dari Russia itu menamatkan set pertama dalam tempoh 29 minit.

Sedar dia perlu kembali ke tahap sebenar, Federer tampak lebih tajam ketika servis di permulaan set kedua walaupun dia gagal menggunakan kesempatan ke atas lawannya.

Pemain nombor 70 dunia, Rublev, menggunakan peluang itu sepenuhnya untuk kembali meletakkan diri di depan menerusi mata 4-3.

Federer cuba mengheret lawannya ke set seterusnya tetapi Rublev tidak memberikan ruang untuk membolehkan lawannya meraih sebarang peluang apabila mengesahkan kemenangan 6-3, 6-4 sebelum menitiskan air mata kegembiraan di atas gelanggang.

"Ia adalah perasaan yang mengagumkan apabila bermain dengan seorang legenda seperti Federer.

"Sekurang-kurangnya 99 peratus penonton menyokongnya. Hari ini saya cuma lakukan yang terbaik. Saya beritahu diri sendiri yang saya perlu bermain setiap mata hingga ke akhirnya. Biar apapun keadaan, saya terus berjuang," ujar Rublev.