Roger Federer melengkapkan kemenangan 15-9 untuk pasukan Eropah berdepan pasukan Dunia dalam Piala Laver walaupun Rafael Nadal tewas kepada John Isner, semalam.

Dengan tiga mata diraih setiap perlawanan pada hari terakhir kejohanan, Nadal tunduk kepada Isner dalam straight set, memberi peluang kepada pasukan Dunia untuk menyamakan kedudukan.

Bagaimanapun, Federer memastikan kemenangan ke atas Nick Kyrgios 4-6, 7-6 (8-6), 11-9, sekaligus menjulang trofi untuk pasukan Bjorn Borg di O2 Arena, Republik Czech.

Pasukan Dunia yang dibimbing oleh John McEnroe hampir menyamakan kedudukan menerusi aksi beregu yang menyaksikan Jack Sock dan Isner meraih kemenangan ke atas Tomas Berdych dan Marin Cilic, 7-6 (7-5), 7-6 (8-6).

Bagaimanapun, Alexander Zverev cemerlang mengetepikan Sam Querrey 6-4, 6-4 bagi memberikan Nadal peluang untuk melengkapkan kemenangan pasukan Eropah.

Pemain nombor satu dunia itu, sebaliknya, gagal mempamerkan aksi terbaik dan tewas 7-5, 7-6 (7-1).

Tetapi Federer menyelamatkan keadaan dengan menewaskan pemain Australia, Kyrgios, untuk memberikan Eropah kejuaraan bagi edisi yang pertama.