Roger Federer menyifatkan persembahannya sebagai "biasa" apabila kegagalannya menggunakan peluang terhidang menyebabkan dia tersingkir daripada saingan Wimbledon susulan kekalahan di tangan Kevin Anderson.

Federer dilihat berdepan laluan mudah untuk menempatkan diri dalam kelompok empat terakhir selepas memenangi dua set pertama ketika bertemu pilihan kelapan itu, sebelum memperoleh kelebihan mata penamat dalam set ketiga.

Bagaimanapun, Anderson bangkit untuk mengubah senario perlawanan dengan persembahan hebat sehingga mencatat kemenangan 2-6, 6-7, (5-7), 7-5, 6-4, 13-11.

Kejayaan itu menyaksikan Anderson menjadi pemain ketiga yang bangkit daripada kekalahan dalam dua set awal untuk menewaskan Federer, mengikut jejak langkah Jo-Wilfried Tsonga dan Novak Djokovic, sekali gus membuatkan bintang Switzerland itu terlepas peluang untuk mempertahankan kejuaraannya.

"Saya rasa diri saya berada dalam satu situasi. Adakah ia mata penamat? Adakah ia mampu ditamatkan dalam lima set? Saya tidak pasti.

"Ia boleh menjadi kunci utama. Mungkin juga menjadi penentu pada waktu lain. Terdapat banyak mata kecil yang wujud sehingga ia mampu menjadi pengubah dalam keputusan perlawanan. Saya tidak rasa anda boleh menentukannya dengan tepat kecuali mata penamat yang saya miliki.

"Saya sangat gembira dapat melalui permulaan yang baik dalam perlawanan, mampu mengawal keadaan aksi. Cuma, saya tidak tahu mengapa saya tidak dapat mencipta lebih banyak peluang sebaik sahaja set ketiga bermula.

"Saya rasa saya berpeluang walaupun tidak pasti seberapa banyak. Dalam set keempat dan kelima, ternyata set kelima begitu lama, seperti perlawanan dua set.

"Anderson sangat konsisten dan ampuh. Dia melakukan apa yang perlu. Pujian buatnya kerana dapat bertahan begitu lama.

"Ia bukan salah satu daripada hari terbaik saya tetapi ia jarang berlaku. Ia adalah hari-hari biasa di mana anda cuba memenangi perlawanan tetapi gagal. Jadi, ia sangat mengecewakan."

"Kini, sudah pasti saya mahu kembali ke sini pada tahun depan. Ia bukan satu tugas yang belum selesai kerana saya rasa saya telah mengharungi kempen yang terbaik sebelum ini," ujarnya lagi.