Roger Federer secara berseloroh menyebut bahawa dia tidak akan bersara daripada tenis sambil akan terus memberi tumpuan untuk melanjutkan kerjayanya selama mungkin.

Pemain nombor tiga dunia itu mencecah usia 38 tahun pada Ogos lalu dan baru sahaja menamatkan siri jelajah yang hebat di samping Alexander Zverev.

Pemenang 20 gelaran Grand Slam itu memenangi empat kejohanan musim ini selain terlepas menggenggam kejayaan di Wimbledon apabila tewas kepada Novak Djokovic dalam pertarungan final yang epik.

Baru-baru ini, Federer melabur dalam syarikat kasut jenama On Running yang berpangkalan Switzerland tetapi dia menegaskan ia bukanlah petanda bahawa dia akan berhenti daripada beraksi dalam sukan yang dicintainya itu.

"Sepanjang minggu ini, saya telah ditanya mengenai soal persaraan dan apabila tiba masanya, saya fikir mereka semua perlu tahu," katanya dalam rancangan Today Show.

"Tetapi bukan, ini (pelaburan itu) bukan mengenai persaraan. Syarikat tersebut tidak mahu saya bersara, mereka mahu saya bermain selama yang mungkin dan itulah matlamat saya. Saya tidak akan bersara!"

Bagaimanapun, pemain Switzerland tersebut mengakui bahawa dia tidak sabar-sabar lagi untuk menikmati kebebasan sejurus bersara memandangkan kesan tenis yang dipikul sepanjang hayatnya.

"Saya menggemari gula-gula, pencuci mulut dan bercuti," katanya. "Saya memulakan perancangan saya setahun lebih awal tentang di mana saya akan pergi bercuti bersama keluarga. Saya mahu berada di pantai selama beberapa hari, jadi saya tidak sabar-sabar lagi.

"Sebenarnya, ketika saya mengalami masalah lutut pada 2016 dan menjalani pemulihan selama hampir lapan bulan, saya berasakan seperti itulah kehidupan saya selepas persaraan.

"Sudah tentu saya tidak pernah tidak sibuk tetapi gembira untuk mempunyai jadual bersama rakan-rakan -- makan tengah hari pada Rabu, makan malam pada Jumaat, bersenang-senang pada hujung minggu bersama keluarga yang lain pula. Saya tidak sabar-sabar lagi untuk menikmati detik itu. "

Federer sedang mengikuti siri jelajah, termasuk perlawanan membabitkan Zverev di Argentina, Chile, Mexico dan Ecuador.

Mereka juga sepatutnya beraksi di Colombia tetapi kekecohan di Bogota bermakna perlawanan pertunjukan tersebut terpaksa dibatalkan.

"Ia benar-benar gila," kata Federer mengenai jelajah itu. "Kami bermain di empat bandar raya, di depan hampir 100,000 orang dan Bandaraya Mexico pula, seramai 42,000 penonton, ia dua kali ganda lebih besar daripada Stadium Arthur Ashe, New York.

"Dapat mengatasi rekod-rekod itu dengan melakukannya di samping Zverev, ia bukanlah sesuatu yang saya fikir saya akan lakukannya."