Roger Federer mengesahkan dia bakal beraksi di pentas Sukan Olimpik 2020 sambil mendedahkan hatinya terbuka untuk kembali bersaing.

Pemain Switzerland itu menyasarkan pingat ketiga di Tokyo tahun depan selepas meraih emas bersama Stan Wawrinka dalam acara beregu lelaki ketika temasya Beijing 2008 sebelum mengutip perak bagi perseorangan di London empat tahun kemudian selepas tewas di pentas final di tangan pilihan utama, Andy Murray.

Federer, 38, yang turut mewakili negaranya dalam Sukan Olimpik 2000, tewas di tangan pemenang gangsa, Arnaud Di Pasquale, serta 2004 tetapi terlepas Rio 2016 akibat kecederaan lutut.

Pemenang 20 gelaran Grand Slam itu mengumumkan keputusannya untuk kembali beraksi selepas perlawanan pertunjukan menentang John Isner di Tokyo.

"Saya telah berbincang dengan rakan sepasukan selama beberapa minggu, bulan sebenarnya, mengenai apa yang perlu saya lakukan ketika musim panas selepas Wimbledon dan sebelum Terbuka Amerika Syarikat," katanya.

"Akhirnya, hati saya terbuka untuk beraksi dalam Sukan Olimpik sekali lagi.

"Saya membawa bendera Switzerland dua kali di Athens dan Beijing, meraih satu emas dan satu perak. Kini saya sedia untuk beraksi semula, jadi saya gembira."

Federer telah memenangi tiga gelaran Jelajah ATP musim ini sambil bergelar naib juara Wimbledon apabila tewas di tangan Novak Djokovic setelah melangkah ke kelompok empat terakhir dalam Terbuka Perancis.