Novak Djokovic mempamerkan permainan memukau untuk menempah perlawanan akhir Kejohanan Terbuka AS dengan Juan Martin del Potro hasil kemenangan straight-set ke atas Kei Nishikori yang melebarkan rekod kemenangannya ke atas pemain Jepun itu kepada 14 perlawanan, semalam.

Djokovic tewas kepada Nishikori di peringkat separuh akhir edisi 2014 di Flushing Meadows tetapi memenangi setiap pertemuan kedua-duanya sejak itu.

Satu lagi kemenangan buat bintang Serbia itu tidak langsung kelihatan meragukan setelah mempamerkan penguasaan dari mula, memenangi tiga game permulaan dan mengekalkannya untuk meraih kemenangan 6-3, 6-4, 6-2.

Djokovic, yang mara ke tujuh final di New York sebelum ini tapi hanya menang dua daripadanya, kini akan berdepan Del Potro dalam final esok.

Lawannya itu sedang mendahului Rafael Nadal dua set dalam satu lagi separuh akhir apabila juara bertahan itu terpaksa menarik diri kerana kecederaan.

Berkeyakinan tinggi selepas kejayaannya dalam Wimbledon, Julai lalu, Djokovic harus kini pilihan hangat untuk muncul juara esok.

“Secara peribadi, saya sangat menyukai dia bukan hanya sebagai seorang pemain tapi juga sebagai kenalan,” kata Djokovic mengenai Del Potro. "Dia seorang rakan baik, seorang yang saya sangat hormati.

“Kita semua berasakan kesengsaraannya dengan kecederaan yang mengetepikannya daripada jelajah selama dua, tiga tahun.

“Tapi dia sentiasa tergolong antara lima pemain terbaik dalam pandangan semua orang. Kita semua tahu dia memiliki keupayaan dan kualiti untuk sampai ke tahapnya kini,” katanya lagi.