Novak Djokovic mempertahankan Alexander Zverev selepas pemain Jerman itu dikecam penonton ketika menewaskan Roger Federer dalam saingan separuh akhir Jelajah Akhir Persatuan Tenis Profesional (ATP Akhir), di London, malam tadi.

Zverev dipaksa bekerja keras dalam aksi sengit sebelum mara ke final hasil kemenangan 7-5, 7-6.

Bagaimanapun, pemain berusia 21 tahun itu diejek penonton selepas tamat perlawanan.

Ia ekoran Zverev menghentikan permainan ketika penentuan tie-break kedua apabila pengutip bola di belakang Federer terlepas bola yang meluncur ke arah gelanggang.

Djokovic yang akan berdepan Zverev dalam aksi final selepas menewaskan Kevin Anderson, tidak teragak-agak mempertahankan lawannya itu.

"Saya berasa simpati terhadap Zverev. Dia tidak sepatutnya diejek seperti itu," katanya dalam sidang media.

"Saya tidak nampak sebarang kesalahan yang dia lakukan.

"Ia mata yang penting, Roger sedang memburu mata dan bola itu berada di belakang kakinya.

"Moralnya di sini, kami tidak sepatutnya menyalahkan Zverev. Dia tidak menipu dan perkara itu benar-benar terjadi.

"Sebagai seorang yang jujur dan berperwatakan baik, dia tidak sepatutnya diejek sepeti itu," tambahnya.

Kemenangan itu menyaksikan Zverez muncul pemain Jerman pertama mara ke pentas akhir sejak Boris Becker melakukannya pada 1996.