Pemain tenis remaja negara, Christian Didier Chin, akan kembali beraksi dalam saingan masters sirkit kebangsaan selepas empat bulan berkelana di luar negara.

Saingan masters itu menghimpunkan lapan pemain terbaik lelaki dan wanita daripada ranking kebangsaan dan kategori lelaki menyaksikan Ahmed Deedat Abdul Razak turun sebagai pilihan selepas mengungguli empat daripada enam siri sirkit kebangsaan sebelum ini.

"Bahagian lelaki kami lihat Ahmed Deedat masih lagi pemain nombor satu dan pencabarnya adalah bekas pemain kebangsaan, Ashaari Zainal, dan Christian akan bertanding setelah lebih empat bulan berada di luar negara.

"Saya berharap dia mampu melakukan kejutan bagi memberi saingan terbaik kepada pemain senior," kata ketua jurulatih negara, Muliyadi Jamal.

Sementara itu, dalam ketegori wanita, kredibiliti Suhana Sofia Adam Das sebagai pemain wanita terbaik negara akan diuji pencabar yang sedang meningkat naik.

"Untuk kategori wanita, kami boleh lihat pilihan pertama adalah Suhana. Minggu lepas, Suhana tewas kepada Elsa Wan dan Elysia Wan, iaitu pemain adik-beradik," tambah Muliyadi.

"Namun, kami masih belum tahu kerana ada pemain muda yang mampu menggugat pemain senior."