Bekas tonggak tenis lelaki negara, Assri Merzuki, tidak akan teragak-agak untuk keluar daripada persaraan sebagai pemain kompetitif untuk membantu skuad Piala Davis 2019 negara.

Selepas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Assri mula beralih ke bidang kejurulatihan.

Dia kini berpangkalan di Phuket, Thailand, sebagai jurulatih profesional.

Bagaimanapun, dia akan memulakan perbincangan dengan Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) bagi memperkuatkan kembali skuad kebangsaan.

"Saya tidak kembali untuk sepenuh masa memandangkan saya sudah mempunyai karier tersendiri sekarang.

"Namun, jika mereka mahukan saya untuk kembali bagi menyertai Piala Davis, saya akan melakukannya memandangkan saya pernah menyertai kejohanan itu untuk tujuh edisi.

"Saya sentiasa bersedia untuk mewakili negara, namun ia bergantung kepada jadual saya dan LTAM," katanya.

Antara daya tarikan yang menarik minatnya untuk kembali mewakili skuad yang dikendalikan Suresh Menon itu adalah persekitaran positif menjelang kempen Kumpulan 3, Piala Davis yang dijangka berlangsung September depan.

"Setakat yang saya tahu, persekitaran sesi latihan ketika ini amat berbeza berbanding dahulu.

"Sistem latihan ketika ini lebih terancang dan sistematik.

"Semua pemain kini lebih gembira dan bersedia untuk memberikan prestasi terbaik," tambahnya.