Bekas juara dunia, Andre Agassi, bakal mengisi jawatan jurulatih buat Novak Djokovic bermula pada minggu hadapan.

Djokovic menjelaskan dia akan mencari jurulatih baru selepas berpisah dengan staf kejurulatihannya pada bulan ini, namun tidak akan tergesa-gesa.

Juara grand slam 12 kali itu meninggalkan Boris Becker pada Disember tahun lalu dan kini menunggu ketibaan Agassi dalam usaha mengembalikan prestasi terbaiknya.

Djokovic juga mengesahkan Agassi akan bekerja bersamanya bermula dengan Terbuka Perancis, selepas tewas dalam aksi final Internazionali BNL d'Italia di tangan Alexander Zverev pada Ahad.

"Agassi faham tentang permainan dan mempunyai nilai-nilai kekeluargaan," kata Djokovic.

"Dia adalah seorang individu yang mampu menyumbang banyak perkara buat saya, baik di dalam mahupun di luar gelanggang," jelasnya.

Dalam aksi di Rome, segalanya tampak tidak menjadi buat Djokovic, sekaligus membolehkan Zverev meraih gelaran ATP World Tour Masters 1000 dengan kemenangan 6-4, 6-3.