Wafiy azam perbaharui rekod peribadi di India

Oleh Tengku Danish Bahri 10 September 2019 323
Wafiy azam perbaharui rekod peribadi di India
Atlet olahraga 400m, Abdul Wafiy Roslan, mahu membaiki catatan masa terbaik peribadi 47.07 saat sebelum bermulanya Sukan SEA di Filipina, November depan. 

Kejohanan Terbuka India, 10 Oktober depan, menjadi medan terbaik untuk mencapai sasaran tersebut, kata anak didik Mohd Poad Md Kassim itu.

Menurutnya lagi, prestasinya kini dalam keadaan terbaik selain turut menyertai acara 4x400m di India bersama Muhd Ilham Suhaimi, Mohd Saiful Safwan serta Ruslem Zikry Putra.

Atlet Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) itu mencatat 47.07s dalam Terbuka Malaysia 2018 sebelum merekodkan 47.11s dalam Kejohanan Tertutup Malaysia, bulan lalu.

"Kalau bersandarkan pada prestasi, saya gembira kerana berada dalam keadaan terbaik ketika menghampiri temasya Sukan SEA.

"Sebelum itu, ada beberapa kejohanan di India dan Macau, saya mahu memperbaharui catatan masa peribadi 47.07s," katanya.

Wafiy yang akan beraksi dalam kategori A Sukan SEA bagi acara 4x400m bersama Ilham, Saiful dan Ruslem, dipilih selaku Olahragawan Sukan Terengganu (SUTERA) 2019, semalam.

Atlet Kuala Terengganu itu merangkul empat pingat emas dalam acara 200m, 400m, 4x100m dan 4x400m.

"Zulfikar (Ismail) memberi saingan sengit dalam acara 200m, namun syukur sasaran empat pingat berjaya direalisasikan.

"Saya akan kembali ke Johor dan meneruskan latihan di bawah bimbingan jurulatih, Mohd Poad, sebelum ke India," tambahnya.
 

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen