Atlet tinju negara, Khir Akyazlan Azmi, mahu melunaskan janji yang pernah diikrarnya pada 2015 untuk membawa pulang pingat emas setelah mengesahkan slot ke peringkat separuh akhir acara light heavyweight bawah 81 kilogram Sukan SEA Ke-30 hari ini.

Ia merupakan kemenangan yang cukup beremosi buat Khir Akyazlan memandangkan dua edisi sebelum ini di Singapura 2015 dan Kuala Lumpur 2017, dia sekadar memendam rasa kecewa apabila tersingkir awal.

Bagaimanapun, berbekalkan undian positif di Filipina, dia yang beraksi dalam kategori baru berbanding dua penampilannya sebelum ini dalam kategori light welterweight bawah 64kg, mudah menundukkan lawan dari Myanmar, Tun Ye Lin, dengan keputusan 5-0.

Lebih manis, dia menamatkan kemarau enam tahun untuk memastikan pingat gangsa dalam tangan setelah kali terakhir meraih pingat dalam temasya dwitahunan itu pada edisi 2013 di Myanmar.

"Saya akan cuba untuk menukar warna pingat kerana ketika di Singapura, saya gagal melakukannya. Saya akan berusaha untuk membawa pulang emas untuk Malaysia," katanya.

Sebelum itu, rakan sepasukan, Arfiqarnie Ahmad Anshori, terpaksa berputih mata apabila tewas kepada peninju Indonesia, Farrand Papendang.

Kesilapan taktikal di dalam gelanggang menyaksikan Arfiqanie terperangkap dengan tumbukan bertubi-tubi Farran sehingga menyaksikan dia tewas dengan keputusan 5-0.

"Saya tidak mendapat rentak dalam perlawanan ini. Walaupun sudah membuat persediaan yang panjang, perancangan saya tidak berhasil," katanya.