Belum sempat mengerah keringat, peninju negara, Muhammad Fuad Redzuan, sudah mengesahkan pingat gangsa dalam genggamannya apabila undian membabitkan kategori light flyweight bawah 49 kg itu menyaksikannya mendapat laluan khas, sekali gus mara ke peringkat separuh akhir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina, Metro Manila, Jumaat ini.

Meskipun kekurangan aksi dalam merintis laluan ke perlawanan akhir, atlet kelahiran Negeri Sembilan berusia 28 tahun itu menganggap faktor berkenaan tidak akan mengganggu momentumnya.

"Walaupun cuma akan terlibat dalam dua pertarungan (dalam temasya ini), saya mahu buat yang lebih baik berbanding Sukan SEA yang lalu," katanya.

Bagaimanapun, undian semalam menyaksikannya hanya akan beraksi pada Jumaat, dia diramalkan akan berdepan wakil Filipina.

"Acara tinju juga bergantung kepada aspek undian dan saya bernasib baik.

"Jadi, saya akan menggunakan baki rehat sehari lagi untuk menjalani latihan bagi mendapatkan momentum dan strategi dalam usaha mengatasi pihak lawan," katanya.

Tekanan untuk mengekalkan emas yang julung kali dimenangi Malaysia itu semestinya ada.

Tambahan pula, dia hanya berkesempatan mengharungi dua kejohanan berbanding pencabarnya yang rata-rata telah beraksi dalam enam kejohanan tetapi dia enggan menjadikan itu sebagai alasan, malah semangatnya semakin berkobar-kobar.

"Saya tidak menganggap ia sebagai tekanan, sebaliknya sebagai cabaran untuk saya membawa pulang emas ke Malaysia.

"Saya akan cuba yang terbaik untuk mempertahankan emas."