Peninju negara, Arfiqanie Ahmad Anshori, menumpukan aspek strategi di gelanggang di samping jurulatihnya, Azmi Md Yunus, untuk membantunya meraih pingat sulung dalam penampilan ketiganya dalam Sukan SEA Filipina, November depan.

Dua penampilan peninju kelahiran Selangor itu dalam Sukan SEA menyaksikan dia pulang dengan tangan kosong apabila tewas di peringkat suku akhir menentang wakil Thailand.

Tampil beraksi di Filipina dengan pertukaran kategori, daripada bantamweight 56kg kepada 60kg, Arfiqanie optimis peluangnya untuk meraih pingat sulungnya meskipun kekurangan pengalaman.

Arfiqanie menjelaskan dia mempunyai beberapa kelebihan kali ini atas bantuan jurulatihnya daripada segi strategi di gelanggang.

"Kalau sebelum ini saya dipesan lebih kepada mengekalkan jarak (dengan lawan) tetapi sekarang, saya lebih kepada aspek memberikan saingan, dekatkan diri dengan lawan.

"Kini saya kerap menukar corak pertarungan," katanya di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara (MSN), Keramat, hari ini.

Bagaimanapun, peninju berusia 23 tahun itu tetap berwaspada dengan cabaran wakil dari Thailand selain tuan rumah jika diundi bertemu mereka.

"Saya belum dapat jangkakan lagi, mereka menurunkan peninju yang berbeza dalam setiap kejohanan baru-baru ini," tambahnya.

Skuad tinju pernah mencipta sensasi dalam temasya dwitahunan itu ketika di Stadium Melawati yang menyaksikan Zulkifli Yaacob meraih pingat emas pada 1989.

Namun, selepas itu Malaysia terpaksa menanti hampir 20 tahun sebelum Farkhan Haron menyumbang emas di Palembang, Indonesia, manakala kali terakhir menerusi Fuad Redzuan dalam edisi dua tahun lalu di Kuala Lumpur.