Ketua jurulatih skuad tenis negara, Suresh Menon, menaruh harapan tinggi kepada pemain baru pasukannya, Aiman Hamdan, bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain senior, Ahmad Deedat Abdul Razak, menjelang Sukan SEA Filipina, November depan.

Skuad tenis negara terus menghadapi laluan berliku selepas gagal melaksanakan misi ke Kumpulan 2, Piala Davis, Jun lalu.

Mereka kini perlu mengharapkan pemain baru itu apabila Ahmad Deedat masih bergelut dengan kecederaan.

Bagaimanapun, Suresh yakin barisan pemain yang terpilih mampu menggalas tanggungjawab dengan baik di Filipina.

"Saya mengharapkan Aiman kerana dia pilihan terbaik untuk bergandingan dengan Christian (Didier Chin).

"Kami tidak menghubungi pemain lain kerana Aiman pemain tenis sepenuh masa dan saya boleh mengharapkannya.

"Benar dia masih kurang pengalaman dan kami sedang berusaha untuk meningkatkannya," katanya.

Sementara itu, Ahmad Deedat mengakui masih belum pulih daripada kecederaan, namun semangatnya tetap membara jika diberikan peluang untuk menyertai temasya itu.

"Keadaan saya memang agak teruk kerana kecederaan lama pada Mac lalu.

"Ia hanya akan pulih jika saya menjalani pembedahan.

"Kalau boleh saya nak beraksi, sekurang-kurangnya dalam acara beregu," katanya.