Skuad tenis negara kendalian Suresh Menon gagal meraih sebarang pingat dalam Sukan SEA Filipina, namun anak buahnya mengharapkan Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) akan menyambung kontraknya sehingga saingan edisi seterusnya dua tahun lagi.

Malaysia menyasarkan dua gangsa dari Filipina, namun gagal meraih sebarang pingat apabila beberapa pemain terkandas dalam pusingan awal serta dalam aksi suku akhir.

Bagaimanapun, pemain kebangsaan meminta LTAM mempertimbangkan kontrak ketua jurulatih itu untuk dilanjutkan.

"Saya mengharapkannya kerana barisan jurulatih sedia ada sentiasa cuba mendapatkan prestasi terbaik kami. Semua orang telah meningkat dengan ketara. Saya harap kontrak jurulatih dilanjutkan sehingga Sukan SEA seterusnya," kata pemain negara, Shamirul Shahril Mohd Adam.

Bagi Suresh, dia sentiasa terbuka untuk berkhidmat dengan skuad negara jika badan induk sukan tenis kebangsaan itu memberinya peluang sekali lagi untuk terus mengendalikan skuad Malaysia sehingga Sukan SEA seterusnya.

"Saya berbesar hati mereka gembira dengan program yang kami sediakan. Selagi pihak pengurusan fikir saya berguna untuk skuad negara, saya gembira untuk kekal," ujarnya.