"Saya ke sini untuk pingat emas, bukan gangsa."

Itu luahan atlet tempuh halangan negara, Mohd Saddam Pittli, yang gagal menahan sebak sebaik harapan akhir untuk Malaysia membawa pulang sekurang-kurangnya satu emas daripada sukan itu dalam Sukan SEA Filipina hari ini lebur.

Menggalas hasrat besar menghadirkan emas buat negara, Saddam sedar acara 5km lelaki individu adalah harapan akhir daripada sukan itu.

Dia bermula di depan, namun penguasaan atlet tuan rumah, Filipina, bermula di halangan kelima.

Guarte Mervin dan Managil Mohamma Sherwin jelas bijak mengambil kesempatan sepenuhnya memandangkan beraksi di tempat sendiri selain sudah menguasai laluan dan halangan 5km yang ditetapkan.

"Kecewa kerana saya tidak mendapatkan emas untuk Malaysia. Saya meminta maaf kepada semua yang mendoakan saya selama ini. Hari ini saya gagal membuktikan saya boleh," kata Saddam.

Lebih perit apabila kedua-dua atlet Filipina itu bukan seteru utamanya dan Saddam tidak pernah tewas dengan mereka dalam mana-mana kejohanan sebelum ini tetapi terpaksa menerima hakikat pulang dengan gangsa hasil catatan 28 minit 2.00 saat.

"Sebelum ini, dalam mana-mana perlumbaan, saya sentiasa menyaingi mereka. Hari ini saya gagal mendapatkan emas dan tewas kepada pesaing sebelum ini."