Skuad tempuh halangan negara dalam situasi 'gembira dalam duka' apabila terpaksa akur kekurangan anggota pasukan berbanding tuan rumah, Filipina, yang mempunyai kelebihan tiga kali ganda jumlah atlet untuk menyapu bersih pingat emas dalam kesemua aksi final di Bandar Filinvest, Alabang hari ini.

Empat acara akhir dipertandingkan apabila membabitkan acara berpasukan campuran 400 meter x 12 halangan, larian 400m berganti-ganti campuran x 12 halangan, individu wanita 100m x 10 halangan dan individu lelaki 100m x 10 halangan yang menyaksikan tuan rumah mempamerkan keunggulan.

Paling ketara, Malaysia, yang hanya bersandarkan kepada enam atlet, mengharungi ketiga-tiga aksi final itu dengan mempunyai tempoh rehat kurang 10 minit sebelum meneruskan satu demi satu pusingan berbanding Filipina yang mempunyai 16 atlet -- kelebihan daripada sudut tumpuan satu atlet untuk satu acara sahaja.

"Tiada seorang pun atlet Filipina yang akan terbabit dalam dua acara sedangkan hampir setiap atlet Malaysia dan negara lain pula terpaksa menyertai beberapa acara," kata atlet negara, Mohd Redho Rozlan.

Bagaimanapun, kem Malaysia enggan menjadikan itu sebagai alasan biarpun sasaran mereka, iaitu dua emas, semakin sukar digapai dalam penampilan sulung Sukan SEA itu.

Secara keseluruhan, kem tempuh halangan negara tetap boleh berbangga dengan tiga perak yang diraih.

Malaysia masih mempunyai harapan untuk meraih emas menerusi sukan ini apabila Mohd Saddam Pittli akan mengharungi saingan larian 5km individu x 20 halangan esok.

"Kami sudah cuba sedaya-upaya demi pasukan tetapi nak buat macam mana, rezeki kami hanya di tempat kedua.

"Insya-Allah kami akan buat yang terbaik dalam larian terakhir," kata Saddam.