Atlet tempuh berhalangan, Mohd Saddam Pittli, sukar menerima hakikat ditewaskan buat kali pertama oleh atlet Filipina selepas sekadar meraih pingat gangsa dalam acara 5 kilometer individu lelaki x 20 halangan Sukan SEA.

Hari terakhir acara lari berhalangan menyaksikan Malaysia meraih gangsa tatkala dia gagal mengekalkan pendahuluan ketika awal perlumbaan.

Lebih perit, Saddam ditewaskan oleh pencabar yang pernah diatasi dalam pertemuan sebelum ini, Guarte Mervin dan Managil Mohamma Sherwin.

"Sebenarnya larian saya agak tidak baik. Saya dapat berada di kedudukan pertama hanya untuk kurang daripada 2km, kemudian selepas lima halangan, saya dipintas. Saya cuba bertahan di kedudukan kedua tetapi gagal," katanya.

"Saya rasa kecewa kerana gagal buktikan saya boleh. Sebelum ini, dalam mana-mana perlumbaan, saya sentiasa menyaingi mereka. Saya sentiasa di depan tetapi untuk saingan kali ini, saya gagal. Saya tewas di tangan pesaing sebelum ini."