Hasrat Malaysia untuk menambah satu lagi pingat emas bagi acara taekwondo kyorugi dalam Sukan SEA Ke-30 tidak kesampaian apabila atlet negara, Ahmad Nor Iman Hakim, tewas di pentas final kepada wakil Thailand hari ini.

Aksi yang berlangsung di Kompleks Sukan Memorial Rizal itu menemukan Nor Iman dengan Nareupong Thepsen dalam kategori bantamweight bawah 63 kilogram.

Nor Iman sebelum itu cemerlang di peringkat suku akhir apabila menegetepikan wakil Singapura, Raja Arshad Raja Ahmad, dengan keputusan 21 -13.

Begitu juga aksi dalam separuh akhir dengan kemenangan ke atas peserta tuan rumah, Kurt Pajuelas, dengan keputusan sama, 21-13.

Bagaimanapun, dalam aksi final di sebelah petang bertemu Thepsen, Nor Iman tampak gugup sehingga membiarkan lawan mendahului dengan jurang mata yang banyak.

Dia kembali memperkemaskan aksinya pada pertengahan pertarungan yang menyaksikan kedua-dua peserta saling mengejar mata.

Kebangkitan yang dipamerkan Nor Iman bersifat sementara apabila terpaksa berputih apabila tewas tipis kepada pesaingnya itu dengan keputusan 24-22 untuk berpuas hati dengan pingat perak.

"Saya agak kecewa kerana hampir mengejar lawan tetapi masih lagi berpuas hati dengan kemenangan pingat perak ini," katanya.