Skuad taekwondo negara mendapat sentuhan jurulatih terbaik remaja Korea Selatan, Jin Cheon-soo, bagi mengukuhkan barisan atlet kategori kyorugi menjelang Sukan SEA Filipina, bulan depan.

Selepas atlet poomsae negara bercadang mendapatkan rakan sepelatih atlet nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kang Wan-jin, barisan atlet kyorugi pula akan memulakan latihan di bawah pemantuannya hari ini.

Sebelum ini, jurulatih itu pernah melatih skuad remaja Korea Selatan dengan meraih pingat emas dalam Kejohanan Taekwondo Remaja Asia di Jordan, Julai lalu, sekali gus kemahiran itu akan diserap dalam skuad negara.

Beliau menjanjikan khidmat terbaik menerusi kontraknya selama setahun dalam usaha membantu skuad kebangsaan dalam temasya di Manila kelak.

"Atlet kendalian saya pernah meraih emas dalam Kejohanan Remaja Asia. Misi saya adalah menerapkan nilai sama, termasuk dalam sains sukan, dan untuk membantu atlet Malaysia memperbaiki kemahiran dalam misi pungutan mata, lebih-lebih lagi dalam Sukan SEA Filipina.

"Saya akan bekerjasama dengan Institut Sukan Negara (ISN) dalam usaha memberi persembahan terbaik sepanjang kontrak saya di sini," katanya.

Dua atlet sandaran pingat negara, Muhammad Syafiq Zuber dan Ahmad Nor Iman Hakim, akan ke Korea Selatan selama enam minggu bagi menjalani perlawanan persahabatan bersama bekas pasukan bimbingan jurulatih berumur 44 tahun itu bermula minggu depan.

"Kami akan menghantar dua atlet kyorugi ke Korea Selatan untuk menjalani latihan intensif dan menghadapi perlawanan ujian sebelum Sukan SEA," kata pengurus skuad negara, Krishna Murthy.