Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, meminta tiga persatuan sukan kebangsaan yang belum menghantar senarai atlet ke Sukan SEA Filipina 2019 agar mengikut piawaian pemilihan yang ditetapkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Tiga persatuan sukan kebangsaan melepasi tarikh akhir untuk menghantar senarai nama atlet mereka, kelmarin.

Persatuan itu membabitkan sukan jujitsu, bola sepak wanita dan olahraga.

Kelewatan itu membabitkan isu dalaman persatuan dan pemilihan atlet sehingga menyebabkan MOM terpaksa menangguhkan penghantaran senarai lengkap 681 atlet negara.

"Lebih baik saya berjumpa dengan semua pihak terlebih dahulu, saya tidak boleh buat keputusan secara bersendirian.

"Perkara ini selalunya dibuat oleh MOM dan persatuan, saya ingin mendengar maklum balas daripada mereka terlebih dahulu," katanya selepas ditemui dalam majlis pelancaran Hari Terbuka Stadium Nasional di Bukit Jalil, pagi tadi.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, pula berkata: "Kalau gagal layak ke kategori A, mereka akan (diletakkan) dalam kategori B.

"Ada juga jenis sukan yang MOM bersetuju untuk tidak mengambil bahagian. Jadi, ini menunjukkan kami ada persetujuan daripada semua pihak."

Sementara itu, orang awam kini boleh menggunakan trek Stadium Nasional pada setiap pagi hujung minggu tetapi perlu mengikut peraturan seperti tidak boleh memasuki padang.

"Kami sangat gembira untuk datang ke sini setiap minggu kerana sebelum ini, untuk masuk ke stadium perlukan tiket," kata seorang pengunjung yang ditemui.