Ketua Pegawai Operasi Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC), Ramon Suzara, mendakwa semua venue temasya itu akan beroperasi sepenuhnya 15 November ini, sekali gus menepis kebimbangan yang mampu menjejaskan imej negara itu.

Sukan SEA Filipina 2019 dihujani pelbagai kebimbangan, termasuk kelewatan menyiapkan venue temasya.

PHISGOC melawat venue di New Clark City seperti olahraga dan pusat akuatik yang hampir siap -- 44 hari menjelang upacara pembukaan.

Walaupun kerja-kerja pembinaan masih berlangsung, namun PHISGOC memberi jaminan semua venue akan beroperasi pertengahan bulan depan.

"Kami sedang membuat ujian buat masa ini dan setiap venue akan beroperasi sepenuhnya 15 November ini sebelum menjalankan Kejohanan Pra-Sukan SEA," kata Ramon.

Tinjauan wartawan Nadi Arena yang berada Manila mendapati venue utama sudah bersedia, namun penganjur kesuntukan masa untuk memastikan semua kemudahan siap 100 peratus dalam tempoh sebulan.

Ia cabaran terbesar Filipina berbanding kluster lain seperti Manila, Subic dan Selatan Luzon yang menggunakan venue sedia ada.

"Kami sangat berbangga dengan setiap venue yang telah dibina bagi menghadapi Sukan SEA kali ini. Dengan sokongan yang lebih besar, tidak mustahil Filipina mampu menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa," kata Pengerusi PHISGOC, Alan Peter Cayetano.