Ketua jurulatih menembak negara, Park Sang Soon, memberi bayangan atlet yang meraih pencapaian positif dalam Kejohanan Trofi Tun Hanif 2017 tidak terkecuali dalam pemilihan awal untuk skuad Sukan SEA, 19-31 Ogos depan.

Jelasnya, atlet seperti Alia Sazana Azahari, Choo Wen Yan dan Mohd Lutfi Othman yang mempamer aksi memberangsangkan ketika kejohanan itu, 18 Mac lalu, berpeluang terpilih ke Sukan SEA jika mampu mengekalkan kecemerlangan.

Senarai pendek nama barisan penembak daripada keseluruhan 24 atlet telah pun dikenal pasti tetapi belum dimuktamadkan lagi.

Mereka masih berpeluang sehingga Julai ini dan prestasi dalam Kejohanan Menembak Asia Tenggara (SEASA) pada Mei depan akan turut dinilai untuk pemilihan akhir.

"Tiga penembak berkenaan beraksi baik, saya melihat perkembangan mereka dalam latihan begitu baik," kata Sang Soon.

Dalam pada itu, jika perancangan berjalan lancar, jurulatih itu bakal membawa anak buahnya menjalani kem latihan selama sebulan di Korea Selatan selepas berakhir Kejohanan SEASA sebagai persiapan penuh untuk temasya dwi-tahunan itu, Ogos depan.

"Kami mungkin akan berlatih di Korea Selatan dan cuba beraksi dalam SEASA. Mungkin sasaran kami meraih tiga emas, kalau lebih daripada itu ia bonus," tambahnya.