Atlet petanque negara, Muhamad Hafizuddin Mat Daud, menganggap kehadiran semula dua bekas jurulatih menjadi suntikan semangat untuk meraih pingat emas dalam Sukan SEA Filipina 2019.

Atlet berusia 27 tahun itu masih belum ditentukan acara yang bakal disertai selain meletakkan keyakinan kepada jurulatih, Syed Ali Syed Akil dan Zanilisa Mohamed, bagi membuat keputusan.

Bagaimanapun, pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 itu mengakui sudah bersedia mengharungi cabaran di Filipina sama ada dalam acara berpasangan ataupun trio berpasukan.

"Kehadiran jurulatih Syed Ali dan Zanilisa telah meningkatkan semula semangat skuad petanque. Ia sekali gus melonjakkan persiapan kami menghadapi Sukan SEA," katanya.

Walaupun berdepan laluan berliku dalam usaha meraih pingat, terutama emas di Filipina, Hafizuddin tetap bersemangat untuk memastikan mampu membuahkan hasil dalam penampilan kelimanya dalam temasya dwitahunan itu.

"Sasaran saya adalah meraih pingat emas. Kami semua akan berusaha untuk mempertahankan emas yang diraih dua tahun lalu."

Dalam edisi 2017, skuad petanque negara berjaya meraih pingat dalam kesemua enam acara yang dipertandingkan, namun Filipina 2019 hanya menawarkan empat acara, iaitu berpasangan serta trio lelaki dan wanita.