Barisan kejurulatihan hoki dalam dewan negara optimis pingat emas Sukan SEA masih dalam genggaman berlandaskan prestasi mereka dalam Kejohanan Piala Asia di Bangkok minggu lalu.

Skuad hoki dalam dewan lelaki dan wanita negara tiba ke tanah air dengan membawa pulang pingat gangsa dan kedudukan keempat keseluruhan.

Ia pencapaian yang masih boleh dibanggakan dengan mengambil kira skuad itu dibentuk hanya tiga bulan lalu di samping faktor venue latihan yang terhad.

Misi skuad lelaki ialah mempertahankan emas Sukan SEA selain skuad wanita pula cuba untuk memperbaiki pencapaian pingat gangsa masih relevan, dengan mereka kini hanya perlu berwaspada dengan seteru seperti Thailand.

"Jurang dengan pencabar utama dalam Sukan SEA, Thailand, semakin hampir berada di tahap sama dengan Malaysia. Kami harus berwaspada dengan berusaha sebaik mungkin untuk saingan di Manila nanti," kata pembantu jurulatih, Megat Azrafiq Megat Tarmizi.

Dalam masa sama, barisan kejurulatihan tidak akan membuat perubahan drastik dengan cuba mengekalkan 12 pemain dalam setiap skuad.

Ia juga mengambil kira faktor kebanyakan pemain hoki padang kini terlibat dengan tugasan seperti kempen kelayakan Sukan Olimpik sekitar bulan Oktober dan November depan.

"Buat masa ini, Majlis Sukan Negara (MSN) hanya memberikan kami 11 pemain dan kami akan berbincang semula untuk menambah lagi bilangan pemain bagi memperkuatkan lagi pasukan," kata ketua jurulatih, Yahya Atan.