Pemain boling padang negara, Soufi Rosli, tidak gentar untuk beraksi dalam acara trio selepas acara perseorangan digugurkan daripada Sukan SEA Filipina, November depan.

Keputusan tuan rumah itu merencatkan peluangnya untuk meraih pingat emas.

Namun, dia yakin keserasian sesama pemain negara berada di tahap tertinggi untuk meraih emas acara trio.

"Saya kemungkinan besar diletakkan dalam acara trio.

"Letak sajalah dalam mana-mana acara sekalipun, sasaran kami tetap pingat emas.

"Tidak kira budak (pemain) baru ataupun budak lama, kami akan buat seperti sesi latihan sahaja kerana kami memang sudah serasi," katanya.

Tambahnya, persiapan rapi skuad negara membantu keyakinannya untuk meraih emas dalam temasya dwitahunan itu.

"Setakat ini, Alhamdulillah, kami berlatih mengikut jadual.

"Sekarang, kami lebihkan untuk memperkuatkan pasukan.

"Kemungkinan besar, Oktober depan kami akan pergi semula (ke Filipina) untuk menyesuaikan diri dengan venue sebenar.

"Jadi, kami melakukan persediaan ke arah sana pulalah," tambahnya.

Dalam edisi di Kuala Lumpur dua tahun lalu, Soufi dan Emma Firyana Saroji, masing-masing meraih emas acara individu lelaki dan wanita.

Ia melengkapkan pungutan tujuh pingat emas skuad negara daripada lapan yang dipertandingkan.