Disebabkan cintakan Malaysia, pemain snuker negara, Moh Keen Hoo, mengetepikan kepentingan peribadi untuk tampil dalam Sukan SEA Filipina walaupun tawar hati dengan harapan sukan itu dapat diangkat setaraf sukan lain.

Dia kali pertama mewakili Malaysia di pentas Sukan SEA ketika edisi 2003 di Hanoi, Vietnam sewaktu berusia 16 tahun.

Selain pingat emas snuker berpasangan lelaki untuk edisi 2019, dia turut mengungguli acara sama ketika edisi 2015 di Singapura

Menerusi acara perseorangan, dia juga pernah meraih emas sewaktu edisi 2007 di Nakhon Ratchasima, Thailand.

Sudah 16 tahun berlalu sejak kempen pertamanya dalam Sukan SEA, Keen Hoo masih terkesan dengan nasib sukan itu yang dipandang enteng berbanding yang lain.

Atas dasar cintakan sukan itu dan tanggungjawab untuk menyara keluarga, dia terpaksa berpangkalan di luar negara.

"Tiada apa yang diharapkan kerana selalu tidak dapat. Jadi, untuk apa saya berharap? Saya hanya boleh lihat apa mereka buat. Harapan tiada guna, nanti hanya akan bercakap sahaja. Kini saya sudah ke China pun masih dipanggil kerana tiada sesiapa yang boleh main," katanya.

"Sekarang ke mana mahu pergi pun susah, perlu bayar sendiri. Tahun ini pun tiada penaja, semua saya bayar sendiri. Jika ditanya tentang harapan, tiada apa yang diharapkan."