Kekalahan dalam aksi final skuasy perseorangan wanita Sukan SEA 2017 kepada sahabat karib membakar semangat Rachel Arnold untuk memastikan dia tidak gagal di Filipina.

Rachel gagal mempertahankan emas perseorangan di Kuala Lumpur 2017 selepas tewas di tangan S. Sivasangari, kekalahan yang disifatkannya sebagai sesuatu yang masih sukar diterima sehingga hari ini.

Atlet berusia 23 tahun itu akan memimpin skuad skuasy wanita negara ke Filipina yang dibarisi pemain muda seperti Lai Wen Li dan Chan Yiwen.

Sekalipun terdesak dalam pemburuan pingat emas perseorangan, Rachel akur perlu mengelak memandang rendah lawan, termasuk daripada kalangan rakan sepasukan.

Selain acara perseorangan, Rachel difahamkan akan dipertaruhkan bagi acara berpasangan dan berpasukan.

"Gembira untuk kembali beraksi dalam Sukan SEA. Saya telah tewas kepada Sivasangari dua tahun lalu dan berharap untuk menang kali ini," kata Rachel.

"Kami tidak boleh memandang mudah dalam usaha memburu emas dan rakan sepasukan saya juga akan menghadirkan tentangan di Manila nanti."