Pemain skuasy negara, Darren Rahul, mahu menebus kehampaan gagal ke final perseorangan lelaki dengan memastikan pingat emas berpasukan lelaki Sukan SEA Filipina menjadi miliknya.

Barisan kejurulatihan negara meletakkan sasaran untuk dua wakil negara berentap di pentas final bagi perebutan emas perseorangan, namun Darren menerima tamparan hebat apbila dikejutan wakil tuan rumah, Robert Garcia, dalam aksi separuh akhir.

"Tidak mudah apabila beraksi di luar dari laman sendiri dan menentang lawan yang begitu mencabar. Kini saya melupakannya dan berharap dapat membutirkan emas buat negara. Ini adalah usaha berpasukan dan kami hanya perlu kekalkan kekuatan mental," kata Darren.

Dia bersama pemenang emas perseorangan, Addeen Idrakie, kini sedang memimpin skuad negara ke arah merealisasikan impian memenangi emas berpasukan.

Bagaimanapun, untuk mengesahkan kejuaraan, Malaysia perlu mengekalkan momentum sehingga perlawanan terakhir peringkat round robin esok.

Darren dan Addeen mempunyai memori hitam dalam acara itu apabila gagal ketika kempen di laman sendiri dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Segalanya boleh dicapai tetapi sentiasa ingat bahawa kami perlu fokus. Harus hadapi satu perlawanan daripada sekarang," tambah Darren.