Skuad perahu naga negara sedia mengeluarkan perbelanjaan peribadi untuk ke Sukan SEA Filipina, November depan seandainya tidak mendapat bantuan kewangan daripada Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), yang didakwa telah "merompak" penyertaan mereka.

Mereka tetap meneruskan latihan seperti biasa di Putrajaya di sebalik larangan daripada presiden persatuan itu, Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin, yang tidak berhasrat untuk menghantar skuad itu ke Filipina.

Kebanyakan atlet sudah bersedia dan sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri -- dianggarkan RM60,000 untuk keseluruhan pasukan -- seandainya rayuan mereka diterima oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menyertai temasya itu di bawah panji badan induk berkenaan.

"Kami pergi ke sana atas kategori B, jadi mereka telah terangkan kepada kami bahawa ia (perbelanjaan) akan ditanggung oleh persatuan dan persatuan juga tidak tanggung sepenuhnya, jadi kami akan tanggung sedikit.

"Kami sangguplah kerana kami rasa kami boleh menyumbang sesuatu kepada negara," kata atlet negara, Syaful Epandy Hamdan.

Bagi mereka, ia merupakan peluang terbaik untuk Malaysia meraih pingat memandangkan acara perahu naga hanya tiga kali dipertandingkan sepanjang sejarah penganjuran temasya berkenaan -- kali terakhir di Nakhon Ratchasima, Thailand pada 2017.

Malaysia berkemungkinan akan beraksi dalam empat acara kategori lelaki dan satu acara kategori wanita.

Difahamkan, seandainya permohonan mereka mendapat kelulusan MOM, skuad perahu naga negara juga bercadang untuk mendapatkan seorang jurulatih dari luar negara bagi memperkuatkan pasukan.

"Kami akan cuba sasarkan pingat untuk dibawa balik.

"Tahun 2007 adalah tahun terakhir diadakan pertandingan.

"Ini adalah permulaan yang baru untuk skuad perahu naga bagi menghadiri (menyertai) kejohanan di sana.

"Kami sasarkan pingat, cuma belum tahu warnanya," tambah seorang lagi atlet negara, Norzaini Safran, pula.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, meminta agar MOM meluluskan senarai nama atlet kanu dan perahu naga negara seperti yang diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa pemilihan ke temasya berkenaan.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia membantu bagi mencari dana tambahan untuk memastikan skuad negara beraksi di Filipina.

"Dalam mensyuarat KBS yang lalu, dia kata kalau pemilihan tersebut dilakukan seadil mungkin, kami hendak pastikan atlet terbaik yang terpilih dan MOM yang akhirnya akan melasanakannya.

"Kalau dah dibuat, kita perlu terus melangkah ke depan dan jangan asyik menoleh ke belakang kerana akhirnya persediaan itu akan dikompromi.

"Dalam apa jua cara yang kami boleh sokong, kami akan bantu.

"Pada masa yang sama, ia bukan sahaja daripada kerajaan kerana persatuan juga ada tanggungjawabnya yang tersendiri.

"Pada akhirnya, kita perlu ada kolaborasi yang amat baik untuk memastikan mereka mendapat pembelaan yang terbaik," katanya.