Skuad gimnastik artistik negara menepati sasaran tiga pingat emas dalam Sukan SEA Filipina apabila Tan Fu Jie dan Farah Ann Abdul Hadi mendominasi acara masing-masing di Coliseum Memorial Rizal hari ini.

Fu Jie terlebih dahulu membuktikan kewibawaannya apabila merangkul pingat emas acara kekuda pelana dengan 13.967 mata.

Tempat kedua milik atlet Filipina, Carlos Yulo (13.233 mata) manakala Dinh Phuong Thanh (12.867) dari Vietnam meraih gangsa.

"Pingat emas ini memberikan makna yang besar buat saya," kata Fu Jie.

"Kerana selepas edisi (di Kuala Lumpur) lalu, saya tidak beraksi baik dalam beberapa kejohanan.

"Saya sebenarnya meragui keupayaan saya untuk layak.

"Tetapi dengan meraih pingat emas ini, ia membuktikan saya boleh melakukannya," katanya.

Farah Ann kemudian menggandakan kilauan emas itu apabila menjuarai acara palang tak sejajar.

Selepas cemerlang meraih emas dalam acara all around semalam, ratu gimnastik negara itu menduduki tempat pertama acara palang tidak sejajar dengan 12.367 mata, meninggalkan wakil Vietnam, Do Thi Ngoc Huong di tempat kedua dan rakan senegara, Rachel Yeoh, ketiga.

""Saya amat gembira kerana ia adalah pingat emas yang saya terlepas di Kuala Lumpur dan Singapura.

"Saya amat gembira untuk memenanginya kali ini.

"Saya berterima kasih kepada setiap yang menyokong saya.

"Ia amat bermakna buat saya," katanya.

Sementara itu, Tan Ing Yueh gagal mengungguli acara melombol kegemarannya apabila sekadar meraih 13.300 mata untuk meraih perak.

Emas milik gimnas Indonesia, Rifda Irfanalutfi, manakala gangsa dimenangi wakil Vietnam, Do Thi Van Anh.

"Sebenarnya, saya tidak gembira kerana sasaran saya adalah pingat emas.

"Jadi, saya agak sedih.

"Tetapi apa boleh buat? Saya sudahpun mendapat pingat.

"Saya hanya perlu menerima hakikat itu.

"Sebenarnya prestasi saya tidak begitu buruk.

"Saya mendarat dengan baik dalam lompatan kedua.

"Tetapi saya masih dapat markah yang rendah, jadi saya agak sedih," katanya.