Skuad floorball negara melaungkan keyakinan mampu mencapai sasaran sekurang-kurangnya meraih pingat gangsa seperti yang ditetapkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meskipun bakal berdepan cabaran sukar dalam Sukan SEA di Filipina, hujung tahun ini.

Singapura tampil dengan reputasi besar, bertepatan dengan status mereka sebagai pemenang emas sebanyak dua kali.

Selain Singapura, Thailand juga merupakan salah satu negara yang kebiasaannya menggunakan pemain import bagi memperkukuh pasukan bagi menghadapi saingan di pentas Sukan SEA.

Bagaimanapun, ketua jurulatih skuad wanita negara, Kuan Wang, percaya faktor itu tidak menjadi alasan bagi anak buahnya tidak mempamerkan prestasi cemerlang.

"Saya rasa kejohanan yang kami lalui di Filipina, mereka juga diperkuatkan pemain luar. Gangsa adalah sasaran yang logik tetapi kami cuba meningkatkannya," katanya.

Buat masa ini, skuad kebangsaan menghadapi masalah menjalani latihan pusat kerana majoriti pemain berasal dari Pulau Pinang, namun atas inisiatif pemain, mereka mendapatkan khidmat jurulatih sendiri di sana untuk menjalani latihan.

Pemilihan 20 pemain dalam senarai ke Sukan SEA bakal ditentukan selepas saingan Piala Merdeka bulan depan.

"Kelayakan Piala Dunia untuk wanita di Pattaya, kami telah mencapai salah satu pencapaian terbaik. Kami mengikat Jepun, tewaskan Korea Selatan dan New Zealand serta hampir tundukkan Thailand.

"Kami akan mengejar tempat lebih baik dalam Sukan SEA nanti," ujar pengendali skuad lelaki kebangsaan, Muhammad Mohd Akram.