Pengurus skuad silat negara, Zaihan Mohd Isa, menegaskan pegawai perubatan dalam Sukan SEA Filipina tidak peka dengan insiden membabitkan pesilatnya, Faizul Nasir, sambil menerima keputusan wasit dan juri dengan hati terbuka.

Gelanggang silat di Subic hari ini mencetuskan gempar apabila pesilat negara, Faizul, terpaksa dikejarkan ke hospital.

Pemenang pingat emas dua kali dalam Sukan SEA itu tidak sedarkan diri selepas menerima tendangan di muka oleh pesilat tuan rumah, Dines Dumaan.

Namun, perlawanan tetap diteruskan oleh wasit dan juri selepas mengambil kira keputusan pemeriksaan pegawai perubatan.

"Keputusan sudah dibuat, kita tidak boleh melanggari keputusan.

"Daripada aspek keselamatan, pegawai perubatan perlu berhati-hati.

"Apa yang dimaklumkan kepada saya, pada peringkat awal dia masih sedar tetapi selepas pengumuman, dia langsung tidak boleh memberikan repons," katanya.

Ia bermakna impian Faizul untuk meraih pingat emas hatrik tidak kesampaian apabila gagal ke separuh akhir dalam acara tanding putra kelas B itu.

Dia difahamkan sudah sedarkan diri selepas dipindahkan dari Hospital Baypointe Subic ke Hospital Pakar Clark City.

Sementara itu, seorang lagi pesilat negara, Zulfazly Zulfakar, tampil garang untuk mengalahkan wakil Filipina, Alvin Campos, dalam acara tanding putra kelas D.

Kemenangan 5-0 ke atas wakil tuan rumah itu membolehkannya membalas dendam buat seniornya, Faizul, dan akan bertemu pesilat Vietnam dalam separuh akhir.

"Apabila dia (Faizul) tumbang, apa-apa yang saya buat selepas ini adalah untuknya.

"Jadi, kami akan membuat yang terbaik," katanya.